Hentikan serang sesama sendiri – gesa Ismail Sabri

0
18
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua calon Barisan Nasional (BN) termasuk dari partinya menghentikan membalas kenyataan antara satu sama lain.

Walaupun tidak menyebut secara langsung, namun kenyataan Naib Presiden UMNO itu dipercayai merujuk ‘perang mulut’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan calon BN di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Kesihatan, sejak beberapa hari lalu.

Ismail berkata, tumpuan sepatutnya terarah kepada usaha BN dan UMNO menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, tindakan berbalas kenyataan tidak membawa kebaikan kepada parti dan usaha untuk menang kerusi ditandingi, selain menegaskan BN dan UMNO perlu bersolidariti demi meningkatkan keyakinan rakyat kepada parti.

“Saya harap tidak kira siapa dalam Umno atau BN agar memberi tumpuan untuk memang di kawasan yang ditandingi. Ini lebih penting untuk calon BN dapat menyumbang kerusi dan menjadi parti dominan dalam membentuk kerajaan.

“Apa yang penting kini adalah menguatkan parti dan menang pilihan raya adalah sasaran kita (BN),” lapor Berita Harian.

Ismail berkata, rakyat kini sedang melihat dan menilai setiap tindak tanduk calon bertanding dan mungkin pelbagai spekulasi dan persepsi boleh dibuat.

Sejak beberapa hari lalu, Zahid dan Khairy dilihat sering bertelagah di media khususnya mengenai isu pencalonan Khairy di Parlimen Sungai Buloh.

Khairy secara terbuka mengakui terpaksa mencari sendiri kerusi Parlimen yang akan ditandinginya selepas diminta mengosongkan kerusi Parlimen Rembau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here