‘Hubungan saya dengan pengundi muda seperti keluarga sendiri’ – Ku Nan

0
7
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor beramah mesra bersama penduduk Putrajaya di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan hubungannya dengan pengundi muda di Parlimen itu adalah keluarganya sendiri.

Beliau yang lebih mesra disapa dengan panggilan Ku Nan berkata, beliau sudah mengenali generasi muda di sini sejak mereka kecil lagi selepas memenangi kerusi Parlimen itu pada 2004.

“Saya sayang anak-anak muda di Putrajaya ni. Saya kenal mereka sejak dari kecil dan mereka membesar di depan mata saya. Saya kenal mereka semua, macam keluarga dan cucu saya.

“Kalau tanya mereka pun pasti mereka akan kata kami macam keluarga. Saya amat mesra dengan mereka semua,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika ditemui selepas beramah mesra bersama penduduk Putrajaya di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ku Nan yang juga Bendahari UMNO berkata, ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau telah memperkenalkan program V4Putrajaya iaitu program sukarelawan khusus untuk anak muda berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Beliau berkata, sehingga hari ini program itu yang menyediakan pelbagai kursus, bantuan pendidikan dan sebagainya masih berfungsi serta membantu banyak pihak.

Sehubungan itu, beliau berharap hubungan rapat dengan pengundi muda itu dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pada PRU15, Ku Nan bakal berdepan dengan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin mewakili Perikatan Nasional (PN); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 45 dari Pakatan Harapan (PH); Datuk Rosli Ramli, 64, calon Pejuang serta dua calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee dalam pertarungan enam penjuru.

Seramai 42,881 pengundi berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Putrajaya pada PRU15 yang mana 53 peratus daripadanya adalah anak muda berusia 18 hingga 39 tahun yang mewakili seramai 25,415 pengundi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here