Indonesia: Hanya 20 peratus kes rasuah dikenakan tindakan undang-undang

0
2

JAKARTA – Masih banyak kes rasuah di Indonesia yang belum dibongkarkan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK).

Ketuanya, Firli Bahuri berkata, jumlah kes rasuah yang sudah dikenakan tindakan undang-undang hanyalah 20 peratus daripada keseluruhan.

Jelasnya, kebanyakan kes rasuah yang masih belum dibongkarkan melibatkan rasuah kecil atau ‘petty corruption’.

“Hanya 20 peratus kes rasuah dibawa ke muka pengadilan dan selebihnya melibatkan banyak kes kecil-kecilan.

“Namun, rasuah kecil-kecilan ini lama kelamaan akan bertukar menjadi lebih besar dan perkara itulah yang kita perlu cegah dari awal,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Jelas beliau, pendidikan dan kesedaran mengenai antirasuah dalam kalangan masyarakat adalah penting dalam menghasilkan sumber manusia yang berintegrasi.

Firli berkata, semua pihak berisiko terlibat dalam rasuah, termasuk golongan profesional yang sememangnya tahu apa implikasi buruk jenayah tersebut.

“Kebanyakan yang terlibat dalam rasuah ini tahu kesannya kepada mereka dan juga negara, tapi apabila sudah gelap mata dengan duit, semua kesan buruk itu dilupakan.

“Tidak keterlaluan jika saya cakap, dalam sektor perguruan juga berlaku kes rasuah sedangkan guru itu peranannya mendidik jiwa bangsa mengenai buruknya jenayah rasuah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua peringkat masyarakat sentiasa peka dengan sebarang tindakan yang boleh memerangkap mereka dalam jenayah rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here