Isu 1 undi untuk calon BN sama dengan undi Zahid Hamidi hanya propaganda, semua tahu Ismail Sabri calon PM BN- Ku Nan

0
20
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertemu pengundi sewaktu beramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan isu satu undi untuk calon Barisan Nasional (BN) sama dengan satu undi untuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya propaganda yang dimainkan oleh pihak lawan.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata
ini kerana semua pihak tahu bahawa calon Perdana Menteri bagi BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, katanya, penegasan itu juga dibuat oleh Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada Allah SWT pada akhirnya. Malah, Ismail Sabri juga tidak tahu (menjangka) beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

“Bagi saya tiada isu sama ada satu undi untuk Ismail Sabri atau Ahmad Zahid, tapi yang penting satu undi untuk saya lah,” katanya ketika ditemui sewaktu beramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Sebelum ini, calon BN Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan pembangkang bahawa satu undi yang diberi untuknya di kawasan itu bersamaan satu undi untuk Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri.

Menurut Khairy, tiada kekeliruan mengenai siapa Perdana Menteri kerana Ahmad Zahid sudah umumkan bahawa calonnya adalah Ismail Sabri.

Semalam, Ismail Sabri menegaskan beliau masih ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri BN selepas PRU15.

Menurutnya, pemilihan beliau sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu telah diputuskan secara jelas pada Persidangan Agung UMNO 2021 serta keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada April lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here