Isu calon muka baharu BN di Perlis selesai

0
15
Zahida Zarik Khan

PADANG BESAR – Isu penolakan ahli UMNO terhadap dua muka baharu mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Padang Besar dan Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) reda apabila mereka mula diterima oleh sebahagian besar ahli parti.

BN memilih Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan tokoh korporat Datuk Rozabil Abd Rahman di kerusi Arau, kedua-duanya dianggap ahli UMNO di dua kawasan Parlimen itu sebagai ‘calon luar’.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Azizan Sulaiman berkata, hampir separuh daripada ahli UMNO telah mula menerima Zahida sebagai bakal pemimpin baharu mereka menggantikan Zahidi yang kini bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen itu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

“Zahida menghadapi kekangan untuk turun padang kerana masih dalam tempoh idah setelah kematian suami, namun kita di peringkat jentera BN Padang Besar telah melakukan kempen untuk Zahida apabila menggerakkan kira-kira 1,000 jentera bagi membantunya sehingga hari mengundi 19 Nov nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azizan berkata selain menggunakan pendekatan kempen menerusi media sosial, pihak Jalinan Rakyat Wanita UMNO Bahagian Padang Besar turut membuat panggilan video kepada Zahida apabila turun padang bagi membolehkan pengundi melakukan komunikasi dua hala dengan calon mereka.

“Alhamduillah usaha ini mendapat sambutan baik daripada semua lapisan masyarakat dan kita akan teruskan kerana impaknya amat besar,” katanya.

Sementara itu, Rozabil yang mesra dengan panggilan ‘Tok Ben’ oleh penduduk setempat berkata beliau menggunakan pendekatan turun padang bertemu seramai mungkin masyarakat Arau sebagai ‘salam perkenalan’ mendekati pengundi.

“Calon lain mungkin ramai orang sudah kenal, namun saya walaupun pernah memegang jawatan dalam UMNO Perlis dan Malaysia tetapi penglibatan dengan masyarakat agak kurang pada masa itu… Alhamdulillah daripada kempen selama seminggu ini , nampak respons semakin bagus,” katanya.

Rozabil sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis (2008), Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Perlis (Datuk Seri Shahidan Kassim) pada 2006 hingga 2008 dan Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (2009).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here