Jadilah pengundi yang berintegriti memilih calon berintegriti

0
12
Gambar hiasan. Malakat Tribune/Mim Fadlizal Rozaiman

SURAT PEMBACA

Tidak sampai seminggu lagi kita akan sampai ke kemuncak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 iaitu hari mengundi pada 19 November ini.

Dalam kemuncak berkempen ketika ini, topik yang paling banyak dibualkan ialah berkaitan pemilihan calon yang berintegriti.

Calon-calon yang baharu, mempunyai keperibadian yang bersih, serta tahap integriti yang tinggi merupakan calon pilihan.

Namun begitu, bagaimana pula tanggungjawab kita sebagai pengundi yang berintegriti?

Tidak keterlaluan jika dikatakan ketika ini memang ada segelintir pengundi yang mengambil kesempatan untuk meminta-minta ‘sogokan’ daripada parti atau calon itu sendiri.

Penulis yakin, rata-rata masyarakat pernah mendengar mengenai peruntukan duit kepada pengundi pulang ke kampung atau kawasan mengundi.

Ada yang digelar sebagai elaun duit minyak, ada juga digelar elaun pengundi luar dan pelbagai istilah lagi.

Perkara ini merupakan satu budaya yang tidak sihat yang cenderung kepada perbuatan rasuah yang telah lama diamalkan malah sudah membarah dalam kalangan masyarakat.

Memang benar ketika ini ekonomi agak kurang stabil dan rakyat terpaksa berhadapan masalah kesempitan kewangan.

Namun, mengundi itu merupakan hak kita yang tidak boleh dibeli dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang mahukan kuasa.

Kita perlu pulang mengundi untuk menentukan pemimpin mana yang akan memimpin generasi masa akan datang. Sudah pasti pemimpin berintegriti adalah pilihan pengundi berintegriti.

Mohd. Azlan Baharom
Kajang, Selangor

Malakat Tribune tidak bertanggungjawab atas pandangan dan pendapat yang diberikan oleh pembaca.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here