Jangan lupa ‘sabotaj PH’ kepada pembangunan ekonomi Bumiputera

0
13
Barisan pemimpin Perikatan Nasional pada Ceramah Jelajah Perikatan Nasional (PN BEST) di Pusat Perniagaan Meru Impian di Ipoh, Perak, malam tadi.

IPOH – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mendedahkan sikap tidak menghormati pembangunan ekonomi Bumiputera bekas pemimpin DAP, Lim Guan Eng semasa menjadi Menteri Kewangan dalam kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan.

Muhyiddin berkata, antara perkara yang paling biadap cuba dilakukan Guan Eng adalah untuk menghentikan peruntukan melalui Teraju dan Ekuinas yang ditubuhkan sejak sekian lama untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

“Ada beberapa contoh kes parti yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dalam PH bersama dengan DAP memang tidak menghormati perkara-perkara yang menjadi tunjang dalam negara kita.

“Contoh dalam soal ekonomi. Yang ini diberitahu kepada saya oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan kami bersama-sama ada di situ.

“Tertubuh TERAJU. Ini salah satu agensi utama untuk membantu Bumiputera dalam urusan perniagaan. Ada juga Ekuinas, yang tertubuh dengan peruntukan lebih daripada RM2 bilion.

“Guan Eng buat keputusan supaya duit RM2 bilion itu diambil balik oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam Ceramah Jelajah Perikatan Nasional (PN BEST) di Pusat Perniagaan Meru Impian di Ipoh, Perak, malam tadi.

Muhyiddin berkata, banyak langkah dan tindak-tanduk yang diambil Guan Eng langsung tidak menunjukkan dia mengambil berat tentang nasib Bumiputera dalam pembangunan ekonomi.

“Ini dua sahaja contoh yang amat melampau dan ada banyak lagi yang bercanggah dengan dasar negara kita yang jika dibiarkan akan membawa musibah besar,” Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Justeru, beliau mahu rakyat sekali lagi menilai pentadbiran pemimpin-pemimpin dalam parti PH yang pernah diberi kuasa mentadbir negara pada 2018 dan membuat pilihan yang tepat supaya ‘sejarah hitam’ itu tidak berulang.

“Kita tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan. Kita juga UMNO/BN, parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali.

Mengulas sokongan kepada Perikatan Nasional yang diterajuinya, beliau yakin gabungan parti itu akan berjaya sekali lagi membentuk kerajaan dan menawarkan pentadbiran yang lebih baik kepada Malaysia.

PN bukan lagi ‘underdog’ tetapi sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here