Jangan ubah benda yang tidak rosak di Putrajaya

0
54
Kemesraan Tengku Adnan yang sememangnya diketahui umum sejak daripada awal memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Putrajaya.

PUTRAJAYA – Apabila ditanya apakah pembaharuan atau keperluan yang didambakan daripada seorang Ahli Parlimen, rata-rata penduduk di wilayah pentadbiran kerajaan di sini tidak dapat menemukan satu jawapan yang konkrit.

Bagi ‘orang-orang’ lama di Putrajaya terutamanya, mereka mengenali wakil rakyat di kawasan itu bukan sekadar sosok politik tetapi lebih sebagai ahli keluarga sendiri.

Kemesraan, keprihatinan dan paling penting kemampuan menyediakan banyak keperluan penduduk menjadi ‘aset’ tidak ternilai yang dimiliki oleh Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang lebih dikenali sebagai Ku Nan atau Ketua Kampung.

“Sebutlah apa sahaja bentuk bantuan dan di mana sahaja di Putrajaya ini, semua pasti pernah menerima manfaat dan kebaikan Ku Nan.

“Jadi saya tidak tahu kat mana tempat yang perlu ditukar atau dibaiki di bawah pemerintahan beliau,” kata Halimah Hamat kepada Malakat Tribune hari ini.

Halimah yang tinggal di Putrajaya sejak daripada awal pembukaan bandar terancang itu berkata, dia yakin buat masa ini tiada calon yang bertanding di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) ini dapat menggantikan Tengku Adnan.

“Dia terlalu rapat dalam masyarakat, tanya sahajalah siapa di Putrajaya ini. Semua dibantunya tanpa mengira latar belakang,” kata penduduk di pangsapuri Fasa 4, Presint 9 di sini.

Halimah Hamat
Noor Aliza Hashim

Sementera itu, Noor Aliza Hashim, 59, berkata, warga Putrajaya sememangnya cukup bertuah kerana telah dianugerahkan seorang wakil rakyat yang berkemampuan dari segi gerak kerja dan juga sumber kewangan yang kukuh.

Namun katanya, apa yang membimbangkan pada PRU-15 ini adalah sokongan daripada pengundi 18 yang mungkin ‘dibazirkan’ kepada calon lain tanpa memahami latar belakang politik.

“Itu yang kita paling takut dan bimbang apabila generasi muda mula tidak menghargai segala bakti yang diberikan oleh ‘Ketua Kampung’ kerana mereka terdedah kepada pengaruh di media sosial semata-mata.

“Jadi sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi penjelasan kepada anak-anak supaya golongan itu tidak membuat keputusan yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup di sini,” katanya yang sudah lebih 20 tahun tinggal di sini.

Tengku Adnan dalam program bersama anak muda di Putrajaya, baru-baru ini.
Rosni Jantan

Bagi Rosni Jantan, 61, beliau tidak dapat melupakan jasa dan kebaikan Tengku Adnan yang telah memberikan bantuan membaiki keretanya yang rosak akibat ditimpa pokok tumbang.

Dalam nada sedih katanya, selepas urusan menuntut pampasan gagal kerana karenah yang terlalu rumit, beliau telah berhubung dengan pegawai Tengku Adnan dan telah dibantu serta-merta.

“Walapun kos membaiki harga sekitar RM2,000, saya terharu kerana itulah satu-satunya kereta yang kami sekeluarga miliki.

“Sebagai penduduk di sini memang kami tidak akan lupakan Ku Nan kerana terlalu banyak jasa beliau.

“Masa Covid-19 ada bantuan, masa kematian ada disediakan van jenazah, ada juga Klinik Rakyat Ku Nan untuk pesakit berusia 50 tahun ke atas dan macam-macam lagi,” katanya.

Untuk rekod, Tengku Adnan yang merupakan Bendahari Agung UMNO akan dicabar Datuk Dr Radzi Jidin dari Perikatan Nasional (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan), Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) selain dua calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here