Jika PN menang PRU, cuti khas akan diberikan pada Ahad dan Isnin

0
33
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Dr Radzi Jidin dalam majlis pelancaran PN BEST di sini hari ini.

SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan parti itu akan mengisytiharkan cuti umum pada hari Ahad dan Isnin sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, cuti umum pada hari Ahad ialah untuk pengundi di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor supaya mereka tidak perlu memohon cuti pada hari berkenaan.

“Akhir sekali, ada satu tawaran tambahan yang saya nak buat. Yang ini tiada dalam Tawaran Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang (PN BEST). Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain daripada tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika PN menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan hari Isnin bagi negeri-negeri lain. Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran PN BEST di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Muhyiddin berkata, PN menggariskan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran dalam manifesto yang bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang atau PN BEST.

Menurut Muhyiddin, tawaran itu melibatkan isu ekonomi dan kos sara hidup iaitu yang pertama membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, membersihkan politik dan tadbir urus, mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan, memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda dan mengoptimumkan potensi wanita.

Selain itu, katanya, turut diberi perhatian ialah membina warga emas yang sejahtera, memperkasa orang kelainan upaya (OKU), memperkasa generasi Felda dan mentransformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here