Kadar baharu RMT bermula 6 November ini – Radzi

0
12
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan kadar baharu RMT bermula 6 November ini

CYBERJAYA – Pelaksanaan Kadar baharu bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan bermula pada 6 November ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, menerusi pelaksanaan  baharu itu, kadar RMT bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.

“Alhamdulillah, usaha KPM untuk menaikkan kadar RMT dapat dilaksanakan pada tahun ini. Kadar baharu ini akan berkuat kuasa mulai 6 November 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan kadar baharu itu akan memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara.

“Ini merupakan antara komitmen saya dalam memastikan kualiti makanan RMT kepada murid yang memerlukan adalah terjaga.

“Pelaksanaan kadar baharu ini juga pastinya memberi kelegaan kepada pengusaha kantin sekolah yang menyediakan RMT.

“KPM komited melakukan yang terbaik untuk kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya.

Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kenaikan kadar RMT itu akan membabitkan peruntukan RM777 juta, iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020, atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.

Bagaimanapun timbul kebimbangan dalam kalangan ibu bapa kemungkinan kadar baharu itu tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini apabila Bajet 2023 belum diluluskan di Dewan Rakyat susulan pembubaran Parlimen.

Namun begitu, Radzi memberi jaminan pelaksanaan kadar baharu itu tidak terjejas kerana kenaikan kadar itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun hadapan.

Sebaliknya, Radzi berkata, ia menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.

Untuk rekod, RMT dilaksanakan sejak 1979 bagi memastikan murid daripada keluarga susah, memperoleh khasiat makanan yang diperlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here