Kalau saya menang di Sungai Buloh, beri saya kepercayaan pimpin parti – KJ

0
29
Khairy Jamaluddin berucap di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya malam tadi secara ‘terbuka’ berkongsikan cita-citanya untuk memimpin parti itu dan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Menteri Kesihatan itu berkata, sekiranya beliau berjaya membuktikan kemampuan berpihak kepadanya di kerusi ‘kandang naga’ itu, beliau akan meminta parti memberi kepercayaan untuknya memimpin parti dan negara.

Namun katanya, untuk mencapai impian itu beliau memerlukan sokongan penduduk di daerah itu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang akan ditandinginya 19 November nanti.

“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya di kawasan P107, Sungai Buloh bukanlah setakat Sungai Buloh sahaja tapi saya akan bawa orang Sungai Buloh untuk pimpin negara Malaysia, insyallah tuan-tuan.

“Insyallah dengan takdir Allah dan sokongan orang Sungai Buloh juga, rakan-rakan di sini, saya mahu memimpin UMNO, saya mahu jadi Perdana Menteri untuk kita bangunkan negara ini.

“Tapi saya mesti menang di sini dulu. Tidak pernah saya cakap tuan-tuan. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) nak kerat saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya,” katanya ketika berucap di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi.

Kenyataan yang disambut dengan tepukan gemuruh itu kemudian diredakan Khairy sendiri dengan menyatakan dia tidak mengimpikan jawatan itu pada masa ini.

Sebaliknya segala sokongan (kepada calon Perdana Menteri) akan diberikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan sebagai kekandanya sekiranya parti itu membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Saya umur 46 tahun, boleh tunggu lagi tapi jangan lama sangatlah. Saya sudah sedia tapi kena buktikan kemenangan di Sungai Buloh ini dahulu.

“Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000 dan saya menang kerusi untuk BN.

“Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara,” katanya.

Khairy berkata, sejak nama beliau diumumkan sebagai calon di kerusi itu, beliau menerima serangan bertubi-tubi khususnya dari Pakatan Harapan seolah-olah beliau bertempur dalam Pilihan Raya Kecil.

“Bukan main gila sejak nama saya diumumkan, macam tidak ada kawasan lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here