Kenyataan Rafizi satu ancaman kepada SPRM

0
25
Rafizi Ramli

CYBERJAYA – Kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dianggap satu ancaman yang perlu dipandang serius.

Badan pemerhati rasuah, MCM dalam satu kenyataan mengutuk ancaman berkenaan dan menuntut calon Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Ampang itu membuat permohonan maaf kepada rakyat negara ini.

Rafizi membuat kenyataan itu dalam ucapan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini dipercayai ekoran tindakan SPRM melakukan siasatan ke pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, milik Rafizi minggu lalu.

Selain SPRM, Jabatan Kastam juga menghantar notis untuk melakukan perkara sama.

Azam Baki sebelum ini berkata, kehadiran pegawai-pegawai SPRM itu merupakan prosedur biasa siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.

“Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa, hanya empat orang pegawai SPRM hadir untuk menemu bual kakitangan dan ambil dokumen berkaitan kewangan sahaja,” katanya.

Sementara MCW menegaskan, sebagai sebuah agensi yang bebas dan telus, SPRM pastinya memerlukan sokongan semua pihak terutamanya iltizam politik yang kuat dan konsisten untuk membenarkan SPRM menyiasat; proses mengumpul bukti dan menyelesaikan kes tanpa ada rasa takut.

“Kami yakin dan percaya bahawa setiap rakyat Malaysia sentiasa menyokong SPRM. SPRM mesti terus tegas dan berani bertindak menyiasat sesiapa sahaja bagi memastikan segala dakwaan kes rasuah dibongkar sehingga akar umbi.

“Kebijaksanaan SPRM dalam menjalankan siasatan tidak wajar dipertikaikan dan ahli politik yang disiasat perlu memberi kerjasama penuh dan dinasihatkan untuk mengelakkan membuat kenyataan yang kelihatan menganggu atau mencampuri urusan siasatan bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here