Kerajaan komited jayakan wawasan ‘Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik’ menjelang tahun 2030 – PM

0
3
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Bera di sini hari ini.

BERA – Kerajaan bertekad untuk memastikan semua kawasan luar bandar mencapai aspirasi seperti dirumuskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu wawasan ‘Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik’ menjelang tahun 2030.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain pembangunan infrastruktur dan pendidikan, kerajaan juga memberikan tumpuan kepada satu lagi elemen penting iaitu keusahawanan sebagai pemacu pembangunan ekonomi termasuk dalam kalangan penduduk luar bandar.

“Tidak dapat dinafikan kita telah mencapai kejayaan dalam konteks pembangunan infrastruktur di luar bandar yang mempunyai bekalan elektrik dan air serta mempunyai rangkaian jalan raya yang sempurna.

“Kita juga telah melahirkan anak-anak luar bandar yang berjaya dalam pelbagai bidang dengan membelanjakan berbilion ringgit saban tahun bagi membangunkan kawasan dan masyarakat luar bandar di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Bera di sini hari ini.

Mini KUD Bera menyasarkan 10,000 pengunjung sepanjang dua hari program itu berlangsung, dengan nilai jualan RM100,000.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga sentiasa prihatin dalam membantu rakyat khasnya usahawan luar bandar mengukuhkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara bermula 2020.

Beliau berkata, KUD antara program pemasaran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan menyediakan platform mempromosi kemudahan serta insentif disediakan sektor awam dan swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here