Kerajaan PN lebih pedulikan masalah rakyat daripada Kerajaan PH – Muhyiddin

0
7
MUHYIDDIN YASSIN

CYBERJAYA – Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) berjaya melaksanakan perkara yang gagal dilakukan oleh kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, apabila kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada 1 Mac 2020, beliau mengarahkan Menteri Kewangan supaya mencari sumber-sumber kewangan yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk disalurkan secara langsung kepada rakyat yang sedang menanggung kesusahan akibat pandemik.

Menurutnya, beliau kemudian diberitahu ada sumber-sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat hingga menyaksikan dalam tempoh 17 bulan pemerintahan kerajaan PN, pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM530 bilion telah dilaksanakan.

“Perkara yang tidak boleh dilaksanakan oleh Pakatan Harapan, boleh dilaksanakan oleh Perikatan Nasional. Kenapa? Kerana Perikatan Nasional prihatin.

“Inilah komitmen kami untuk Malaysia, iaitu mewujudkan sebuah kerajaan yang prihatin rakyat, selain bersih dan stabil. Susah senang kita hadapi bersama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Muhyiddin berkata, semasa pemerintahan kerajaan PH, beliau telah menggesa Menteri Kewangan pada ketika itu, Lim Guan Eng supaya menambah bantuan-bantuan langsung kepada rakyat.

Malah katanya, beliau turut meminta supaya sebahagian bantuan yang dipotong semasa pentadbiran PH dikembalikan semula.

Beliau berkata, ini kerana rakyat pada ketika itu terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi selain kenaikan harga petrol.

“Namun jawapan yang diterima ialah kerajaan tidak mampu kerana masalah kekangan kewangan.

“Dalam Bajet 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian e-dompet bernilai RM30. Jumlah ini terlalu kecil,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here