Kerjasama GRS-BN diyakini berterusan – Hajiji

0
7

TUARAN – Kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) diyakini akan berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, formula GRS-BN telah terbukti di peringkat negeri dengan kerjasama erat untuk mentadbir dan membawa banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.

“Sudah tentu ia adalah suatu kesinambungan mandat yang diberikan rakyat semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) lepas. Jadi, kami perlu ada kerjasama kukuh bagi memastikan kami mendukung mandat ini,” katanya Hajiji yang juga Pengerusi GRS selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT), di sini hari ini.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan mengisytiharkan Nov 18 sebagai cuti umum, beliau berkata perkara itu harus diteliti terlebih dahulu.

Menyentuh mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.38 juta kepada badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh di Tuaran tahun ini.

Daripada angka itu, RM1.078 juta untuk badan agama bukan Islam dan selebihnya untuk sekolah Cina dan mubaligh di Daerah Tuaran.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan keseluruhan untuk badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh sebanyak RM7 juta kepada RM54 juta tahun depan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian bangunan baharu SMAT yang boleh menampung 500 pelajar pada satu-satu masa, Hajiji memuji sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Seventh-Day Adventist kerana menghasilkan ramai pelajar berjaya sepanjang lebih dari 80 tahun kewujudannya.

“Saya yakin SMAT akan meneruskan kecemerlangannya dalam pendidikan dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk cemerlang terutamanya mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here