Lebuhraya Pan Borneo-Selangau dibuka secara rasmi – PM

0
8
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi penerangan mengenai Lebuhraya Pan Borneo-Selangau sepanjang 27 kilometer yang dibuka hari ini.

SELANGAU – Lebuhraya Pan Borneo-Selangau sepanjang 27 kilometer (km) di sini yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM588 juta dibuka secara rasmi bagi kemudahan infrastruktur jalan raya di Sarawak hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek itu merupakan inisiatif kerajaan persekutuan untuk menambah baik keseluruhan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,046 km.

Beliau berkat, projek itu yang mula dibina sejak November 2016 merupakan antara jajaran dalam Pakej Kerja 08 yang termasuk kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada dari Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 67km.

“Keseluruhan jajaran ini dinaikkan taraf kepada empat lorong dua hala sepanjang 192 km di bawah rancangan pembangunan lima tahun negara manakala baki sepanjang 862km akan dilaksanakan dalam dua fasa.

“Bagi Fasa 1, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 km yang dibahagikan kepada 11 Pakej Kerja dari Telok Melano ke Miri, kerja-kerja pembinaan kini pada tahap 89 peratus siap. Insya-Allah, ia bakal siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Seksyen Selangau di sini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan persekutuan juga sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan di Bumi Kenyalang yang dibuktikan dengan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan juga dua lagi projek mega di utara negeri ini iaitu Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).

Beliau berkata, kedua-dua projek mega ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya.

“Pilihan pertama, pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei, mereka boleh menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 km yang bakal ditambah baik kepada dua lorong dua hala. Pilihan kedua, pengguna jalan raya dari Miri boleh ke Limbang dan Lawas tanpa melalui Brunei menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km. Ia merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sejauh 77km,” katanya.

Beliau berkata, projek mega itu yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion, membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here