MCW kecam tindakan Rafizi ‘ugut’ Ketua Pesuruhjaya SPRM

0
15
RAFIZI.

CYBERJAYA – Kumpulan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengecam tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Kata MCW, Rafizi tidak sepatutnya mempolitikkan serta mengganggu proses siasatan yang dijalankan oleh SPRM ekoran serbuan terhadap Invoke Solutions Sdn. Bhd.

“Sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas dan telus, SPRM pastinya memerlukan sokongan semua pihak terutamanya iltizam politik yang kuat dan konsisten untuk membenarkan ia menyiasat serta melaksanakan proses mengumpul bukti dan menyelesaikan kes tanpa ada rasa takut.

“Kami yakin dan percaya bahawa setiap rakyat sentiasa menyokong SPRM dan ia mesti terus tegas dan berani bertindak menyiasat sesiapa sahaja bagi memastikan segala dakwaan kes rasuah dibongkar sehingga ke akar umbi,” kata MCW dalam satu kenyataan, hari ini.

MCW menambah, kebijaksanaan SPRM dalam menjalankan siasatan tidak wajar dipertikaikan dan ahli politik yang disiasat perlu memberi kerjasama sepenuhnya.

“Beliau juga dinasihatkan untuk mengelakkan membuat kenyataan yang kelihatan mengganggu atau mencampuri urusan siasatan bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilaksanakan,” sambil menggesa Rafizi supaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Terdahulu, Rafizi dilaporkan memberi amaran kepada Azam bahawa PH akan ‘mencarinya’ selepas mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti ketika berucap pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru, malam semalam.

Rafizi dipercayai mengeluarkan kenyataan itu selepas Invoke yang diasaskannya diserbu sekali lagi oleh SPRM dan beliau turut mengesahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menghantar notis untuk melakukan perkara yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here