Mengundi bukan fardu kifayah tapi fardu Ain

0
4
Abdul Hadi Awang bertemu rakyat dan calon PN pada siri jelajah Pas ke seluruh negara di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Tanggungjawab memilih pemimpin yang mewakili Islam dalam pilihan raya adalah tuntutan fardu kifayah yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam dan akan dipersoal di akhirat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh menganggap tanggungjawab mengundi sebagai satu pilihan bersandarkan fahaman politik kerana urusan politik tidak boleh dipisahkan daripada agama.

“Maka, menjadi fardu ‘ain hukumnya ke atas tiap-tiap orang Islam untuk mengangkat pemimpin yang mewakili Islam dalam pilihan raya, bukannya fardu kifayah.

Pilihlah calon yang benar-benar berwibawa untuk memimpin kerana amanah ialah sesuatu yang berat dan tidak layak diberikan kepada orang yang lemah,” katanya dalam hantaran di Facebooknya sebentar tadi.

Abdul Hadi berkata demikian selepas siri jelajah ke seluruh Malaysia sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk bertemu rakyat dan calon-calon Perikatan Nasional (PN) di Wilayah Persekutuan.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau menegaskan bahawa umat Islam hendaklah mengambil berat akan kewajipan mengundi sebagai benteng mempertahankan agama dan pemimpin.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS konsisten menyertai setiap pilihan raya yang diadakan dan tidak sekali-kali memilih jalan reformasi untuk menggulingkan kerajaan dengan cara yang salah.

“Islam sentiasa mendahulukan jalan perdamaian, antaranya ialah melalui demokrasi berparlimen,” katanya.

PAS akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 Sabtu depan selepas tidak mencapai kesepakatan dengan UMNO untuk membentuk Muafakat Nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here