MH17: Malaysia sokong keputusan dibuat Mahkamah Belanda

0
17
Mahkamah The Hague memutuskan tiga orang tertuduh dalam kes pesawat MH17 yang telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 didapati bersalah.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague yang memutuskan tiga orang tertuduh dalam kes pesawat MH17 yang telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 sebagai bersalah.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan.

“Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa yang amat meruntun hati ini, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17 ini.

“Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

“Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah pada hari ini diharap sedikit sebanyak akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Belanda hari ini mengesahkan pesawat penumpang MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia.

Tiga orang tertuduh iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko bersalah dalam kes jenayah tersebut.

Pada 17 Julai 2014, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here