Muhyiddin gesa Anwar kemuka bukti cukup sokongan MP

0
30
Sidang media oleh Muhyiddin dan barisan ahli parlimen Perikatan Nasional petang ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti jumlah Akuan Berkanun (SD) yang diperolehi untuk melayakkannya membentuk kerajaan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Pengerusi Pakatan Harapan itu perlu membuktikan beliau mempunyai jumlah sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membuktikan keabsahannya.

“Adalah sewajarnya beliau (Anwar Ibrahim) membuktikan beliau mempunyai majoriti daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 20 November 2022 iaitu dengan mengemukakan surat-surat akuan berkanun majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PN, di sini, hari ini.

Sidang media Ahli Parlimen Pagoh itu berlangsung kira-kira sejam sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 di depan
Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
pukul 5 petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu diadakan selepas Paduka Baginda
memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berakhir dengan kerajaan tergantung.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa PN mempunyai majoriti yang kukuh untuk membentuk kerajaan selain menjadi Perdana Menteri ke-10.

Beliau juga berkata, semua dokumen yang diperlukan oleh pihak Istana Negara telah diserahkan namun telah dipanggil mengadap semula kerana jumlah majoriti yang tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Pada 20 November 2022, iaitu sehari selepas Pilihan Raya diadakan, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat telah menulis surat kepada Presiden-Presiden parti mengundang mereka untuk mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Cadangan ini mesti dikemukakan menerusi surat kepada Istana Negara dengan menamakan Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan calon Perdana Menteri yang disokong oleh Ahli-Ahli Parlimen tersebut.

“Pada hari yang sama, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat menulis satu lagi surat kepada Presiden-Presiden parti meminta supaya cadangan pembentukan kerajaan gabungan tersebut mestilah disertai dengan Surat Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Susulan itu, Perikatan Nasional telah menghantar surat daripada Setiausaha Agung Pas, Pengerusi GPS, Pengerusi GRS dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama Perikatan Nasional,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here