Muhyiddin jumpa Abang Jo, bincang pembentukan kerajaan baharu

0
371
Gambar yang dimuatnaik di laman Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat ini susulan rundingan antara Perikatan Nasional (PN) dan parti lain sedang berlangsung.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas.

“Pagi ini saya menerima kunjungan Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas.

“Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran itu, Muhyiddin turut memuatnaik sekeping gambar beliau bersama Abdul Hadi dan Premier Sarawak itu.

Dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang diumumkan awal pagi tadi, tiada parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) 30 kerusi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) gagal memenangi sebarang kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here