Muhyiddin kekal keputusan tolak kerajaan gabungan dengan PH

0
28
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini kekal dengan pendirian parti itu tidak akan bersama dalam penubuhan kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata, selepas penyerahan dokumen yang diperlukan oleh pihak Istana Negara semalam, beliau sekali lagi mengadap Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang ini.

Dalam pertemuan itu katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Paduka Baginda untuk mempertimbangkan sekiranya PN dapat bersama PH untuk membentuk kerajaan gabungan.

Cadangan itu katanya disebabkan masih tiada parti yang mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut atas pendirian parti.

“Saya mahu maklumkan kami telah mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, di Istana Negara pukul 4.30 bersama Presiden Pas, Tan Sri Haji Hadi.

“Saya nak menunjukkan bukti waktu kami menyerah dokumen ini mempunyai sejumlah bilangan ahli Parlimen melebihi daripada 112 yang dikehendaki dalam Perlembagaan Negara.

“Kami yakin kami sewajarnya boleh membentuk kerajaan tapi bila saya mengadap tadi saya dimaklumkan masih belum mencukupi, saya tidak tahu apakah sebab-sebab itu,” katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Muhyiddin berkata, pendirian PN mengenai penggabungan atau kerjasama dengan PH sudah lama disepakati dan sudah menjadi pendirian parti, dan tidak akan dipersetujui.

“Saya sudah membincangkan perkara itu (kerjasama dengan PH), itu pendirian parti kita. Tidak kira atas tujuan apa sekali pun, sama ada kerajaan perpaduan sekali pun .. kita tidak bersetuju.

“Saya diminta menandatangani dokumen jika kami bersetuju dan saya tandakan tidak bersetuju. Tok Guru (Abdul Hadi Awang) pun ada sama, atas sebab-sebab yang kita tahu kenapa kita tak boleh bekerjasama dengan PH, ini umum orang tahu apa sebabnya. Itu adalah pendirian yang diambil,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here