Muhyiddin ucap tahniah kepada Anwar Ibrahim,

0
31
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas lantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10.

Bekas Perdana Menteri ke 8 itu berkata demikian menerusi ucapan yang dimuat naik di dalam Facebook rasminya hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, partinya akan memainkan peranan semak dan imbang di dalam Parlimen yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, PN akan terus membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia sejak semalam menerima ucapan tahniah daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin negara luar, parti sekutu dan pemimpin dari parti ‘lawan’.

Antaranya adalah dari Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Indonesia, Joko Widodo, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Anwar, 75, dipilih sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas lima hari kebuntuan politik berhubung Parlimen yang tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov.

Anwar memulakan tugas secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat dan selepas selesai urusan di pejabat, beliau turut mengadakan sidang media dan menyentuh beberapa perkara berhubung pentadbiran negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here