OPR naik 25 mata asas, kali keempat tahun ini

0
23

CYBERJAYA – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat semalam membuat keputusan untuk sekali lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) iaitu sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Ia adalah kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini bermula Mei, Julai dan September lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Berikutan kenaikan terbaharu itu, jajaran kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah pembendungan yang ketat di China.

Kesan faktor berkenaan melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

Akibatnya, tekanan inflasi berlarutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan yang kukuh, pasaran pekerja yang ketat serta harga komoditi yang tinggi meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

Bagi ekonomi Malaysia pula, BNM berkata, penunjuk terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi terus bertambah kukuh pada suku ketiga tahun 2022, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang teguh.

Katanya, pada masa hadapan, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan meskipun persekitaran global mencabar.

“Aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun. Walau bagaimanapun, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

“Meskipun terdapat episod volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Mesyuarat terakhir MPC bagi 2022 yang berlangsung semalam turut meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk 2023, yang mana selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun.

Mesyuarat MPC bagi 2023 dijadualkan diadakan pada 18 dan 19 Januari 2023; 8 dan 9 Mac 2023; 2 dan 3 Mei 2023; 5 dan 6 Julai 2023; 6 dan 7 September 2023 dan 1 dan 2 November 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here