Parlimen ‘tergantung’, tiada parti dapat majoriti mudah bentuk kerajaan

0
16

KUALA LUMPUR – Keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diperoleh awal pagi tadi menyaksikan tiada parti berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

PN yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum mempamerkan prestasi luar biasa apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo Pas, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Barisan Nasional (BN) pula mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) gagal memenangi sebarang kerusi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada 5 pagi berkata tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan kepada 7 Disember selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November.

Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak digantung berikutan cuaca buruk menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan manakala SPR tidak dapat mengumumkan keputusan bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, juga disebabkan cuaca.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here