Pas cadang wujudkan mahkamah anti rasuah, tingkatkan keyakinan pelabur asing

0
16
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pas memberi cadangan untuk mewujudkan mahkamah anti rasuah khusus bagi mengatasi masalah rasuah terutamanya untuk negara yang terpalit dengan campur tangan politik dalam sistem kehakiman.

Pas dalam satu kenyataan di Facebook berkata, rasuah yang berlaku pada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi dalam kalangan badan awam dan swasta mengakibatkan pelabur hilang keyakinan terhadap integriti ekonomi negara.

“Menurut kajian, budaya korupsi mengurangkan jumlah pelaburan langsung asing masuk ke dalam sesebuah negara. Pelabur asing bukan sahaja melihat kepada Indeks Persepsi Rasuah tetapi juga melihat kepada sistem negara tersebut membendung rasuah.

“Bagi kebanyakan negara korup, badan kehakiman mereka terbatas dan direndahkan kuasanya kerana mendapat tekanan yang kuat daripada orang politik,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya lagi, ada sesetengah negara menubuhkan bahagian anti rasuah khas sebagai sebahagian daripada sistem mahkamah mereka dan bagi sesetengah negara lain mereka mewujudkan sebuah sistem baru yang terpisah daripada kehakiman sedia ada.

“Dalam kajian ini, negara yang mempunyai ‘Compressive Parallel Court’ mempunyai hubung kait yang lebih positif dengan jumlah pelaburan asing berbanding negara yang menggunakan sistem ‘First Instance Court’ dan ‘Hybrid Court’.

“Compressive Parallel Court dibentuk dengan mewujudkan sebuah mahkamah perbicaraan anti rasuah dan mahkamah rayuan anti rasuah di bawah satu sistem mahkamah anti rasuah.

“First Instance Court’ dan ‘Hybrid Court’ pula tidak melibatkan mahkamah perbicaraan dan mahkamah rayuan di bawah satu sistem yang sama,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Pas berkata, penting bagi sesebuah negara untuk menjadikan mahkamah anti rasuah sebagai satu sistem lain yang terpisah dengan sistem mahkamah sedia ada.

“Pelabur asing sangat memberi tumpuan kepada pemisahan institusi ini kerana mereka tidak yakin kepada integriti dan keupayaan sistem mahkamah sedia ada dalam negara yang korup.

“Kewujudan mahkamah khas anti rasuah ini juga perlu ditambah baik dengan pelan anti rasuah yang lebih berkesan pada zaman sekarang,” katanya.

Selain itu, katanya, sekiranya mahkamah khas anti rasuah ini dapat direalisasikan oleh sebuah kerajaan yang bersih dan stabil, Malaysia akan menjadi negara tumpuan pelabur kerana integriti dan komitmen kerajaan menghapuskan budaya rasuah dalam negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here