Pas dan Bersatu ibarat kahwin mutaah, tak akan kekal bersama

0
12

KUALA NERANG – Gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti perkahwinan mutaah yang tidak akan kekal bersama.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, gabungan itu dijangka hanya bersifat sementara kerana Pas mempunyai pendirian sendiri dalam membuat keputusan manakala Bersatu pula sebuah parti yang penuh emosi.

“Saya fikir gabungan Pas dan Bersatu ini adalah satu perkahwinan yang istilahnya dipanggil mutaah, perkahwinan sementara.

“Pas pun ada pemikiran sendiri dalam nak buat keputusan, Bersatu macam penuh dengan emosi dan saya fikir mereka tak mempunyai pendirian bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pekebun Kecil RISDA Makmur Negeri Kedah di Kampung Musa, Pedu, di sini, hari ini.

Mahdzir yang juga Penyandang dan calon BN bagi Parlimen Padang Terap diminta mengulas perbezaan pendirian antara Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kerjasama antara parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Media sebelum ini melaporkan PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pada PRU15.

Takiyuddin, berkata beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

Susulan itu Muhyiddin hari ini menyanggah kenyataan dibuat Takiyuddin berhubung isu kerjasama dengan BN itu dan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk bertindak sedemikian.

Sementara itu, Mahdzir berkata BN kekal mencadangkan nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya diberi mandat pada PRU15.

“UMNO dan juga BN telah memutuskan secara konsensus bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon Perdana Menteri selepas daripada PRU15 jika BN menang.

“Tapi isu ni macam selalu dimainkan oleh pembangkang, pembangkang nak cari jalan untuk nak memecah belahkan kepimpinan dalam BN.

“Kita mencadangkan mengusulkan Datuk Seri Ismail dan keputusan akhir adalah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, “katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here