Pelakon Syazlin Zainal maut akibat jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

0
113
Syazlin Zainal yang pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut.

JOHOR BAHRU – Pelakon sambilan dan juga pempengaruh media sosial berusia 26 tahun ditemui maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di kawasan Taman Iskandar di sini, semalam.

Kejadian menimpa mangsa yang dikenali sebagai Syazlin Zainal itu dipercayai berlaku pada jam 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan tentang penemuan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri itu.

“Hasil siasatan awal mendapati, sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Bagaimanapun, beliau memohon orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

Difahamkan, proses bedah siasat masih lagi dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSA dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga di sini.

Terdahulu, media melaporkan Syazlin meninggal dunia di Johor dan punca kematiannya masih dalam siasatan.

Berita pemergian Syazlin semalam mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakan dan peminat.

Allahyarham merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here