Pembangkang terdesak, kelirukan pengundi dengan dakwa Zahid bakal jadi PM – Ismail Sabri

0
13
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pembangkang sengaja membuat tohmahan kononnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal diangkat perdana menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ismail Sabri, musuh politik BN menggunakan taktik berkenaan untuk mengelirukan pengundi meskipun tahu beliau satu-satunya pemimpin yang diisytiharkan calon PM oleh UMNO dan BN.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, berkata, dakwaan itu juga bertujuan memecahbelah kepimpinan UMNO dan BN tetapi akhirnya mendedahkan pembangkang ketandusan isu.

“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan (dalam kalangan pengundi) dan tentu juga mereka mahu supaya kepimpinan BN dan UMNO berpecah. Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka menggunakan. Hanya menggunakan isu PM ini,“ katanya memetik laporan FMT.

Tambah Ismail lagi, beliau turut menyifatkan dakyah yang disebarkan itu sebagai cara tidak beretika untuk menjejaskan sokongan pengundi terhadap BN.

“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan saya tak menjadi PM (supaya) menurunkan sokongan kepada BN. Mereka mungkin takut saya (sebagai) calon PM. Saya anggap ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya untuk menarik pengundi kepada BN,” tambah beliau.

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa Zahid selaku presiden UMNO dan pengerusi BN mengintai jawatan tertinggi negara meskipun Ismail diumumkan sebagai “poster boy” BN dan calon PM PRU15.

Pemimpin PH memberi amaran bahawa ‘satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Zahid menjadi perdana menteri’ manakala Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut melontar dakwaan serupa.

Dalam pada itu, Zahid tegas menafikan dakwaan itu namun ia terus diuar-uarkan pembangkang yang ghairah menjadikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sasaran utama dalam kempen mereka, kerana kes mahkamahnya berkaitan penyelewengan dana.

Selain itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera kesal cubaan pembangkang menidakkan keputusan di pelbagai peringkat dalam UMNO dan BN berhubung calon perdana menteri.

“Keputusan untuk mencalonkan saya sebagai perdana menteri oleh BN telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Tertinggi Umno, biro politik Umno, dan perhimpunan agung Umno. Malah, disambut oleh parti-parti komponen (BN),” katanya.

“Seluruh kepimpinan BN, termasuk Pengerusi Zahid, Mohamad Hasan (timbalan pengerusi), dan lain-lain, jelas kata saya satu-satunya calon perdana menteri (BN),” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pembangkang juga menggunakan isu calon PM dalam cubaan terdesak menanam keraguan dalam kalangan pengundi terhadap kemampuan BN mewujudkan kestabilan yang juga mesej utama gabungan itu dalam kempen pilihan rayanya.

Katanya, sejarah menunjukkan PH dan PN tidak mampu menghasilkan kerajaan stabil dan menambah, BN jelas dengan apa yang ia mahu lakukan untuk memperkasakan negara sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan pada 19 November ini.

“Manifesto kita bukan sahaja menyentuh soal ekonomi tetapi transformasi institusi,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here