Pembayaran BKM Fasa 4 diawalkan kepada 15 November ini – PM

0
371
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula 15 November ini dan dijangka selesai pada 18 November ini.

Perdana Menteri berkata, pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion itu akan memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang/tiada pasangan.

“Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah
diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022.

“Untuk BKM Fasa 4, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, pembayaran itu merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.

Beliau berkata, keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa 4 daripada Disember 2022 kepada November 2022 adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan bulan November ini.

“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November 2022 dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di
Portal Rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here