Pemimpin PH, BN akan bertemu pagi ini

0
19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kedua-dua pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan akan mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pasific pagi pagi ini.

Pertemuan antara Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perbincangan membentuk kerajaan gabungan antara kedua-dua parti.

Memetik laporan Malaysia kini, kedua-dua pihak bagaimanapun tidak memaklumkan perjumpaan itu secara rasmi.

“Saya diberitahu memang ada perjumpaan antara pemimpin PH dan BN. Tapi, saya masih tidak pasti perjumpaan itu berkenaan apa,” kata sumber BN itu ketika dihubungi.

Sementara itu, satu lagi sumber dari PH berkata bahawa ia sekadar perjumpaan biasa sahaja.

“Bukan rasmi. Sekadar perjumpaan biasa.

“Tak salah, jika pemimpin PH dan BN berjumpa dan bertukar pandangan selepas penat dengan kempen pilihan raya,” katanya.

Selepas lebih 24 jam berakhirnya PRU15, belum ada mana-mana parti yang mampu membentuk kerajaan secara sendiri ekoran situasi parlimen tergantung.

Keputusan rasmi menunjukkan PH menjadi parti yang memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.

Petang tadi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan kesediaan mereka untuk menyokong kerajaan pusat yang menggabungkan PN dan BN.

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here