Pendedahan rasuah, salah guna kuasa semasa PRU perlu ikut saluran betul

0
9
Gambar hiasan. Malakat Tribune/Mim Fadlizal Rozaiman

SURAT PEMBACA

DALAM kehangatan berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, satu daripada perkara yang kerap didengar ialah berkaitan pendedahan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Sudah pasti pendedahan ini melibatkan calon-calon atau parti yang bertanding dalam pilihan raya khususnya ketika mereka berceramah di atas pentas politik.

Itu belum lagi di media sosial, pelbagai gambar dan video individu memberi dan menerima duit berlegar-legar di Tik Tok walaupun kita pun tidak dapat memastikan kesahihannya sebagai satu kesalahan rasuah atau tidak.

Daripada satu sudut pandang, perkara ini merupakan satu yang positif kerana ia menggambarkan masyarakat cakna dengan isu rasuah.

Namun begitu, pendedahan tersebut perlulah mempunyai asas dan bukti berkualiti agar memudahkan siasatan dijalankan.

Malah perkara yang utama sekali ia perlu melalui saluran yang betul dan tepat iaitu terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bukan menghebahkan ketika berceramah atau menggunakan platform media sosial sahaja.

Ini kerana SPRM sendiri telah melancarkan bilik gerakan di seluruh negara bagi orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada PRU15.

SPRM dalam kenyataannya menyebut, semua bilik gerakan akan beroperasi 24 jam mulai 5 hingga 19 November ini dan boleh dihubungi menerusi talian Ibu Pejabat SPRM serta pejabat negeri.

Selain itu , orang ramai juga boleh hadir sendiri ke pejabat SPRM atau menghubungi mereka menerusi emel. Pendek kata, pelbagai saluran telah disediakan untuk kita membuat laporan.

Jadi, tidak adil jika kita hanya membuat dakwaan secara umum tanpa bukti berkualiti dan menghebahkannya ke serata alam dan akhirnya menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak bertindak.

Selain itu, usaha sebegini tidak boleh dibuat hanya secara bermusim. Ia harus berterusan dan berulang kali.

Jangan pula selepas habis tempoh PRU ini nanti, tidak timbul lagi dakwaan-dakwaan berkaitan rasuah ini. Jika begitulah keadaannya, maka bolehlah kita simpulkan bahawa pendedahan itu mempunyai agenda tersendiri semata-mata.

Tarmizie Che Anuar
Cheras, Kuala Lumpur

Malakat Tribune tidak bertanggungjawab atas pandangan dan pendapat yang diberikan oleh pembaca.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here