Pengerusi PN Perlis sahkan kerusi Arau dikosongkan untuk Shahidan Kassim

0
22
Datuk Seri Shahidan Kassim

ARAU – Perikatan Nasional (PN) negeri mengesahkan akan memberi laluan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mewakili gabungan tersebut di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, laluan akan diberikan kepada Shahidan dan kini mereka hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Pas pusat  yang sudah mengadakan perbincangan berhubung soal itu.

Katanya, nama calon kerusi Parlimen Arau yang sepatutnya diwakili oleh calon Pas dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat Pusat dengan Shahidan mengenai perkara itu masih berjalan.

“Berdasarkan situasi sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan yang merupakan calon boleh menang dan apa yang penting adalah memenangi sebanyak mana kerusi pada PRU15,” katanya memetik laporan Utusan Online hari ini.

Semalam, Shahidan yang digugurkan sebagai calon Parlimen Arau mengesahkan akan bertanding di kawasan berkenaan dengan platform parti politik yang bakal diwakilinya akan ditentukan dalam masa terdekat.

Dalam pengumuman calon Barisan Nasional (BN) semalam, bekas Naib Ketua Bahagian UMNO, Datuk Rozabil Abd. Rahman dinamakan sebagai calon Parlimen Arau sekali gus menggantikan Shahidan.

Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990,2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here