‘Perjuangan dan Amanah’ landasan perjuangan PN

0
11
MUHYIDDIN

PAGOH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan ‘Perjuangan dan Amanah’ sebagai landasan meneruskan perjuangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, walaupun sudah bersara daripada jawatan Perdana Menteri, beliau tidak boleh bersara daripada perjuangan.

“Saya telah mencapai kemuncak dalam kerjaya politik saya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020.

“Apabila saya meletak jawatan pada 21 Ogos 2022 saya mempunyai pilihan untuk bersara daripada politik,” jelas Muhyiddin dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk meneruskan perjuangan kerana tidak mahu dianggapnsebagai “lari dari tanggungjawab”.

“Saya akan dilihat tidak bertanggungjawab jika saya lari dari medan perjuangan semata-mata kerana saya tidak lagi berjawatan.

“Memang sukar bagi diri saya untuk meneruskan perjuangan dalam keadaan ini. Banyak halangan dan cabaran yang terpaksa saya hadapi dalam memimpin sebuah gabungan parti politik besar yang membawa citra dan harapan murni rakyat malaysia, lebih-lebih lagi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” katanya lagi.

Kata Muhyiddin lagi, menjadi tanggungjawabnya untuk mengelakkan negara daripada jatuh ke tangan kleptokrat.

“Saya juga tidak mahu negara ini diperintah sekali lagi oleh sebuah pakatan politik yang gagal menunaikan janji kepada rakyat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita,” katanya.

Jelas Muhyiddin, PN pimpinannya menawarkan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil untuk semua rakyat.

“Prihatin dengan ertikata sentiasa mempunyai rasa belas ihsan kepada rakyat serta tidak lokek membantu mereka ketika susah.

“Bersih dengan ertikata bebas daripada segala amalan rasuah dan penyelewengan.

“Stabil dengan memastikan kehidupan rakyat sentiasa aman, selamat dan harmoni serta mengelakkan daripada terjadinya perkara-perkara yang menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here