PM ke-10: Agong titah Muhyiddin, Anwar menghadap pukul 4.30 petang ini

0
27
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap di Istana Negara petang ini.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah demikian susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara yang tersebut di atas.

“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua- ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here