PN BEST tawar bantuan tanaman padi RM1,200 setahun dan wujudkan Wawasan Felda Baharu

0
16
PN BEST

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) berjanji untuk menyediakan Bantuan Tanaman Padi sebanyak RM1,200 setahun kepada pesawah dan Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM800 setahun kepada pekebun kecil yang terlibat dalam musim tengkujuh.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, janji itu disediakan dalam manifesto PN iaitu Tawaran Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang (PN BEST)

“PN juga akan menjaga kebajikan golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif dengan mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran bernilai tinggi melalui insentif khas bagi menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar serta pemasaran cekap, memodenkan sektor perikanan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan dengan mewujudkan skim pembangunan yang terancang dan mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik Kerajaan bagi kegunaan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian termasuk kebun komuniti.

“Menyediakan bantuan tunai RM1,200 setahun kepada pesawah (Bantuan Tanaman Padi) dan RM800 setahun kepada pekebun kecil (Bantuan Musim Tengkujuh) dan meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui penyediaan latihan serta bantuan khidmat nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran PN BEST di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, PN juga akan terus memperkasakan warga Felda yang mana sebelum ini kerajaan PN telah melupuskan hutang peenroka Felda berumlah RM8.3 bilion selain menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion bagi menambahbaik model perniagaan Felda.

“Untuk memperkasa generasi Felda pula, PN menawarkan untuk menggagaskan Wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa depan generasi muda Felda melalui pewujudan peluang ekonomi baharu, keusahawanan serta menambah baik infrastruktur asas termasuk capaian internet dan rumah mampu milik; menyelamatkan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih.

“Selain itu, PN juga akan memperkenalkan skim keusahawanan Felda bagi menggalakkan penglibatan usahawan muda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi terkini dan automasi dan memulihkan Felda supaya prestasinya setanding dengan syarikat perladangan kelapa sawit berprestasi tinggi bagi menjamin kesejahteraan peneroka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here