PN Pahang yakin dapat menang 16 kerusi DUN

0
19

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang yakin dapat mencapai sasarannya memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan keputusan pada pilihan raya lepas yang menyaksikan Pas selaku parti komponen gabungan itu kalah tipis kepada Barisan Nasional (BN).

Ketika itu, Pas ‘mendapat tempat kedua’ di 11 kerusi DUN dan ia boleh berubah pada PRU15 berdasarkan sokongan kepada PN yang semakin melonjak pada masa ini.

“Semasa itu PAS bertanding secara solo dan berdepan dengan saingan tiga penjuru, selain (pada masa kini) terdapat kerusi DUN yang dilihat sokongan ke arah PN semakin meningkat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parlimen Indera Mahkota, di sini hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Ranndy Yap Kim Heng.

Saifuddin berkata, sokongan di kawasan FELDA juga semakin menggalakkan berdasarkan laporan diterimanya sepanjang tempoh kempen, selain mengambil kira kemampuan PAS yang telah dapat menembusi beberapa kawasan tanah rancangan pada pilihan raya umum lepas.

Pada PRU14, PAS menang di lapan kerusi DUN, manakala antara kerusi yang mereka tewas dengan kurang 600 majoriti ialah Cheka, Benta, Pulau Tawar dan Kuala Semantan.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi, dengan keputusan PRU14 menyaksikan BN menang di 25 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan kerusi.

Sementara itu, Rosli berkata tidak timbul masalah jika Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai menteri besar jika PN berjaya membentuk kerajaan negeri walaupun beliau turut bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian di Kelantan.

“Jika menjadi menteri besar, sudah tentu beliau akan lebih banyak berada di Pahang, dan jika tidak (berada dalam negeri), Pas mempunyai jentera yang secukupnya untuk membantu melaksanakan tugasan yang perlu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here