PN teliti pengeluaran KWSP bersasar jika menang PRU15

0
45

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) akan meneliti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu menjadi pertimbangan meskipun ia tidak terdapat dalam tawaran PN pada PRU kali ini.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan pusat yang diterajuinya sebelum ini pernah membenarkan tiga pengeluaran caruman itu menerusi inisiatif i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar.

“Pengeluaran KWSP tidak ada dalam manifesto, tetapi dulu kita buat Insya-Allah (jika) kita menang akan lihat semula tentang (pengeluaran) KWSP bersasar.

“Kalau dulu kita sudah benarkan (pengeluaran) beberapa kali (seperti) i-Lestari walaupun (pada) awalnya agak sukar, tetapi pertama kita kena tengok berapa banyak simpanan oleh pihak yang mahu mohon, kalau sudah habis, nak bersasar apa.

“Namun, ini perkara penting kita akan beri pertimbangan sebaiknya apabila jadi kerajaan,” katanya ketika ditanya soal pengeluaran KWSP bersasar dalam sesi dialog yang berlangsung di majlis pelancaran manifesto PN di sini, malam ini

Terdahulu, sebanyak 234 tawaran dikemukakan PN yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada pilihan raya umum kali ini.

Dalam pada itu, katanya, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup kakitangan awam yang berpendapatan rendah, PN juga menawarkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala.

Pada masa sama, katanya, PN juga akan memperkenalkan Kad Prihatin Nasional untuk memberi akses perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

Mengulas lanjut, katanya, PN juga berjanji untuk mengurangkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebanyak 25 peratus kepada graduan kelas dua atas dan memberi insentif khas bernilai RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig yang layak untuk mengikuti kursus terpilih di institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, PN juga menawarkan untuk menaikkan kadar elaun pelajar yang menjalani latihan amali atau praktikal di sektor awam kepada RM1200 sebula.n dan memperkasa program usahawan golongan anak muda dalam industri ekonomi digital dan masa hadapan seperti FinTech, Robotik dan kenderaan elektrik (EV),” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here