PN umum bertanding 169 kerusi Parlimen pada PRU15

0
29
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengumuman Bakal Calon Perikatan Nasional PRU-15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (MITEC) di sini, malam ini.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan bertanding di 169 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengumuman Bakal Calon Perikatan Nasional PRU-15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (MITEC) di sini, malam ini.

Dalam pengumuman itu Bersatu akan bertanding di 74 kerusi, Pas (64), Gerakan (20), dan Kumpulan Bersekutu 11 kerusi.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beliau hanya mengumumkan calon bertanding di Parlimen bagi semua negeri kecuali di Kelantan; Terengganu; Arau, Perlis dan Lubok Antu, Sarawak yang akan diumumkan Pas dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mempertahankan kerusi Parlimen Tambun yang dimenanginya pada tahun 2018 dan beliau berdepan tugas getir kerana dicabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, seperti dijangka, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal bertanding di Gombak yang disandangnya sejak 2008 manakala Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula bakal bertanding di Indera Mahkota.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula beralih ke Sepang manakala Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula ke Parlimen Tasek Gelugor.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional dan Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diberikan tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi Larut yang dimenangi sebelum ini bersama UMNO pada PRU14 yang lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here