PRU15: Ahli politik dipelawa jadikan Malakat Mall sebagai medan penerangan

0
8

CYBERJAYA – Pemilik Malakat Mall bersedia menawarkan pusat beli belah tersebut sebagai medan penerangan untuk digunakan oleh ahli politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya sedang dalam proses menghantar jemputan kepada calon yang bertanding di Parlimen Sepang untuk tujuan itu.

“Kita terbuka kepada semua parti politik.

“Jadi kita akan invite para calon Sepang untuk mengadakan sesi bertemu pengundi di Malakat Mall, bagi tujuan mereka menerangkan tawaran-tawaran mereka secara terus kepada orang ramai,” kata Mohd. Fadzil.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata demikian dalam satu sesi siaran langsung di laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Coach Fadzil turut menyeru semua ahli politik supaya mengutamakan kesejahteraan negara dan berhenti bertelagah setelah tamat PRU15 nanti.

Beliau berkata, rakyat sudahpun melalui beberapa ‘siri percubaan’ kerajaan yang memerintah, jadi tak kira siapa pun yang berjaya memenangi PRU15 nanti, beliau mencadangkan supaya dibentuk kerajaan campuran.

“Permintaan saya kepada pemimpin negara, tak kira siapa pun yang menang nanti, bentuklah unity government dan berhentilah bergaduh.

“Sebagai rakyat kita dah lalui pengalaman (diperintah) pelbagai kerajaan,” katanya lagi.

Tambahnya, negara sudah berada jauh daripada landasan kemajuan jadi kerajaan yang bakal dibentuk perlu meletakkan kembali asas kemajuan negara sebagai kepentingan.

“Kerajaan yang bakal dibentuk juga perlu menyediakan negara sebelum memasuki zaman kemelesetan, yang mana banyak diramalkan oleh pakar bahawa akan lebih teruk daripada kemelesetan pada 1929,” katanya lagi.

Oleh itu, Coach Fadzil turut mencadangkan supaya pihak yang menang nanti menggunakan idea manifesto parti lain yang sesuai bagi memajukan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here