PRU15: GPS gugurkan Rohani, Nancy pindah ke Santubong

0
13

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menggugurkan penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Abdul Karim daripada senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rohani yang sebelum ini menduduki kerusi itu selama empat penggal, diisi oleh Mohamad Shafizan Kepli.

Senarai calon diumumkan pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg hari ini, turut menyaksikan penyandang kerusi Batang Sadong, Datuk Nancy Shukri, bertanding di Santubong.

Beliau menggantikan tempat Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu baru-baru ini.

Bagi PRU15, GPS akan bertanding di kesemua 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak.

Antara penyandang yang akan mempertahankan kerusi mereka termasuk Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya); Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Kapit) dan Presiden Demokratik Progresif, Datuk Tiong King Sing (Bintulu).

Antara calon lain yang diumumkan Abang Johari ialah bekas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin yang baru menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), bagi mempertahankan kerusi Puncak Borneo.

Pada PRU14, GPS memenangi 19 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan di Sarawak, dengan DAP memenangi enam lagi kerusi, diikuti PKR dengan empat kerusi.

Baki dua lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas, Larry Sng (Julau) dan Jugah Muyang (Lubok Antu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here