PRU15: Kempen hari kedua Tengku Zafrul dapat sambutan luar biasa 

0
42
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz melakukan tinjauan di Pantai Remis di sini, hari ini.

KUALA SELANGOR – Kempen hari kedua membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di sini, hari ini. 

Beliau yang memulakan kempen hari ini dengan bersenam di Stadium Kuala Selangor dilihat sempat meluangkan masa berbual bersama penduduk tempatan di situ. 

Tengku Zafrul (kiri) di Stadium Kuala Selangor.

Di sebelah petang pula, Tengku Zafrul, yang juga Menteri Kewangan, menyantuni penduduk dan peniaga tempatan di Pasar Pantai Remis Jeram. 

Katanya, beliau mendapati Pantai Remis mempunyai potensi besar untuk dijadikan kawasan pelancongan tumpuan, namun kemudahan asas yang disediakan di situ tidak mencukupi dan perlu ditambah baik. 

“Saya lihat perniagaan di sini begitu meriah sekali tapi ada beberapa masalah yang perlu ditekankan iaitu potensi Pantai Remis itu sendiri. Pemandangan di sini sangat cantik tetapi kemudahan asas tidak mencukupi. 

“Lampu pun ada satu sahaja (spotlight) dan bila saya jumpa dengan peniaga di sini walaupun dikenakan sewa tetapi tiada lampu disediakan di kedai. 

“Kalau kita cantikkan lagi tempat ini semestinya akan berikan  hasil kepada rakyat Kuala Selangor khususnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Tambahnya lagi, terdapat peniaga-peniaga yang mengadu berkenaan permohanan lesen perniagaan yang lambat dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya dapat aduan bahawa mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan lesen kerana tempat ini sudah penuh jadi mereka terpaksa berpindah ke tempat lain,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, menurut Rozaimi Idris, salah seorang penduduk tempatan berkata, Tengku Zafrul mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor.

“Saya lihat Zafrul mempunyai peluang yang cerah kerana cara beliau mendekati orang muda itu sangat bagus dan itulah yang kami mahukan,” katanya ketika ditemui di sini.

Tengku Zafrul bakal bakal dicabar bekas penyandang kerusi tersebut iaitu bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH), Mohd Shaid Rosli (Pejuang) dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Noor Mohd Sahar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here