PRU15: Pendidikan awal nasional percuma antara isi manifesto BN

0
38

CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) berjanji akan meyediakan sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma untuk semua kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, janji tersebut merupakan antara perancangan dalam manifesto yang dinamakan sebagai Perancangan Amal dan Usaha (PADU) dan merupakan satu tawaran baharu yang segar daripada BN kepada rakyat Malaysia.

“BN mahu menamatkan segala sandiwara dan mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk kerajaan yang kuat.

“Kita mahu uruskan Malaysia menjadi sebuah negara yang sejahtera dan makmur,” kata Ahmad Zahid ketika membentangkan manifesto tersebut dalam sesi siaran langsung yang disiarkan di laman Facebook BNComms, malam tadi.

Kata Ahmad Zahid, PADU merupakan satu pelan yang serius dan rasional, dan mempunyai sasaran yang jelas.

“PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi,” katanya lagi.

PADU mempunyai lima teras atau fokus utama, dan mengandungi 99 Amal dan Usaha yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tindakan kerajaan.

“Namun, BN tidak boleh berseorangan dalam ikhtiar besar ini. Kami memerlukan sokongan dan penglibatan semua. Sesungguhnya 99 Amal dan Usaha yang kami nukilkan dalam PADU ini adalah sesuatu yang kami rasakan terbaik untuk negara dan masyarakat kita.

“Justeru, saya pulangkan semuanya kepada pertimbangan baik saudara dan saudari yang mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan negara,” kata Ahmad Zahid lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here