PRU15: PN umum manifesto minggu depan, beri bayangan bakal beri ‘tawaran’ yang besar untuk rakyat

0
17
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Malakat Tribune/Mim Fadlizal Rozaiman

KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan manifesto PN berada di tahap terakhir penelitian dan akan dibentangkan awal minggu hadapan

Katanya, manifesto berkenaan bakal memberikan manfaat yang besar kepada rakyat selepas mengambil keadaan ekonomi semasa.

“Hari ini kita ada Majlis Pengumuman Calon PN yang telah meneliti draf terakhir manifesto dan Insya-Allah kita akan lancarkan satu atau dua hari selepas penamaan calon.

“Kita telah perhalusi draf terakhir yang akan memberikan sejumlah tawaran yang besar kepada rakyat dengan mengambil kira suasana ekonomi semasa.

“Manifesto berkenaan merangkumi keperluan untuk jangka pendek dan jangka panjang dan ini semua akan dilancarkan pada pelnacaran manifesto awal minggu depan,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman Bakal Calon PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (MITEC) di sini, malam tadi.

Dalam majlis yang sama, Azmin yang juga Penyandang Ahli Parlimen Gombak diumumkan bakal mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambah Azmin, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak untuk datang menawarkan khidmat di Gombak, namun beliau yakin akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak tiga penggal yang lalu.

“Ini satu proses demokrasi yang matang saya menyambut baik mana-mana pihak untuk datang menawarkan khidmat.

“Namun saya amat yakin rekod dan perkhidmatan saya di Gombak saya telah bersama-sama dengan penduduk Gombak, saya anak jati Gombak dan mengenali penduduk Gombak atas semangat persaudaraan yang wujud sekian lama, Gombak akan kekal bersama PN,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, penamaan calon pada malam semalam juga telah mengambil kira kesemua faktor yang penting.

“Kita mengambil kira mengambil kira semua faktor dan yang paling penting kita mahukan calon ini mempunyai intergriti dan berkeupayaan untuk memberikan khidmat kepada rakyat yang paling penting sekali,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here