PRU15: Shahidan bertanding atas tiket PN di Arau

0
16

CYBERJAYA – Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas menteri besar Perlis yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau memilih PN kerana gabungan itu dilihat mampu menyatukan UMNO, PAS dan Bersatu dalam platform sama.

“Saya akan bertanding atas satu parti yang berasaskan UMNO, PAS dan Bersatu yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Walaupun UMNO pun memperjuangkan agama, bangsa dan negara, namun ia kini dipimpin oleh seorang yang mengkhianati keputusan bahagian, terutama di Arau,” katanya dalam laporan Harian Metro, hari ini.

“Jadi, kalau perkiraan ini diambil untuk menjadi pemimpin, saya kira tak layaklah kerana saya sudah menjadi pengarah pilihan raya sebanyak lima kali dan kami tidak pernah ganggu bahagian masing-masing.

“Tetapi, jika dilihat calon yang bertanding kali ini sangat menyedihkan, apabila tiada satu pun senarai calon yang diutarakan oleh bahagian dipilih,” katanya lagi.

Pengumuman rasmi calon PN yang akan bertanding di Parlimen Arau akan dilakukan di Kompleks PAS Perlis di Kangar, malam ini.

Shahidan akan berdepan saingan calon BN, Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here