PRU15: Tempoh satu jam diberikan untuk serahan borang pencalonan

0
12
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Calon yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya mempunyai tempoh selama satu jam untuk untuk menyerahkan kertas penamaan calon pada Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari pukul 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) yang berkenaan.

Tambahnya, hanya tiga pihak dibenarkan untuk berbuat demikian iaitu calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka.

Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding PRU15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah supaya mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, sebelum Hari Penamaan Calon.

“Bakal-bakal calon juga disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, langkah itu bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, kata beliau, surat kebenaran menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

Jelasnya, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.

Pada masa sama, SPR turut mengingatkan penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan, tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang ditetapkan.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari berkenaan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here