PRU15: Tengku Zafrul harap jadi wakil rakyat Kuala Selangor, reda dengan keputusan

0
53
Calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) ditemani isterinya, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di sini, hari ini.

KUALA SELANGOR – Calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz reda dengan keputusan yang bakal diterimanya pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Menurutnya, beliau sudah melakukan usaha sehabis baik sepanjang tempoh berkempen pilihan raya umum kali ini, yang berakhir semalam.

“Harapan saya dapat dipilih oleh pengundi Kuala Selangor menjadi wakil rakyat di sini supaya dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka.

“Apapun, sesiapa (calon) yang menang atau kalah, harus menerima keputusan pilihan (majoriti pengundi),” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di sini, hari ini.

Beliau ditemani isterinya, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad dan tiba di pusat pengundian itu pada jam 8.15 pagi.

Tambah Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan, pada mulanya beliau mahu beratur seperti orang awam lain untuk mengundi, namun petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memintanya mengundi segera kerana tidak mahu menganggu proses pengundian.

“Ramai pengundi yang nak ambil gambar dengan saya dan melihat situasi itu, petugas SPR menasihatkan kepada saya tidak perlu beratur.

“Apapun, saya melihat ramai yang datang mengundi awal dan harap jumlah yang datang mengundi terus ramai sehingga petang,” ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, PRU15 kali ini menampilkan saingan empat penjuru di Kuala Selangor membabitkan wakil dari Pejuang, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan BN. 

Penyandang kerusi yang juga wakil PH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilihat bakal menjadi pencabar utama Zafrul selepas memenangi kerusi tersebut dalam PRU14 yang lepas. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here