Putrajaya perlukan nafas baharu – Radzi

0
13
Radzi (kiri sekali) turut sama menyertai aktiviti penduduk ketika berkunjung ke Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) Palma, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Parlimen Putrajaya memerlukan nafas baharu bagi membawa kawasan itu memasuki era baharu yang lebih jauh ke depan.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sebagai sebuah pusat pentadbiran negara, Putrajaya perlu ditonjolkan sebagai sebuah kawasan yang mempunyai pelbagai tarikan bagi merancakkan lagi suasana dan menambah kualiti hidup penduduknya.

“Oleh sebab itu, salah satu tawaran yang kita bawa adalah menjadikan setiap Sabtu sebagai Hari Sukan dan Riadah.

“Kita akan adakan kerjasama dengan pelbagai persatuan untuk adakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh pelbagai peringkat umur dan golongan,” kata Radzi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika dalam rangka kempennya di Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) Palma, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai perjalanan kempennya yang sudah masuk seminggu, Radzi berkata beliau amat berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada warga Putrajaya.

“Seperti yang saya pernah katakan, saya mula (berkempen) pada gear lima, jadi sekarang saya terus tekan minyak.

“Tempoh berkempen ada lagi enam hari (sebelum hari mengundi) jadi saya mahu pastikan dapat berjumpa seramai pengundi yang mungkin supaya mesej perubahan yang kita bawa dapat disampaikan dengan jelas.

“Saya mahu penduduk Putrajaya tahu bahawa apa yang saya bawa untuk mereka adalah bagi kawasan ini memasuki satu era baharu yang akhirnya akan memanfaatkan semua,” kata Radzi lagi.

Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini buat pertama kalinya menyaksikan pertandingan sebanyak enam penjuru.

Selain Radzi yang mewakili PN, turut bertadnding adalah penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd, Rosli Ramli (Pejuang), Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan) dan dua calon bebas iaitu Samsudin PKPL dan Lim Fice Bee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here