Rafizi nafi guna dana awam isytihar harta, umur 30 tahun dah jutawan

0
34
Rafizi Ramli

PETALING JAYA – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan dakwaan menggunakan dana awam yang dikumpul dalam pilihan raya umum (PRU) lalu hingga berjaya mengumpul harta RM18.9 juta seperti diisytiharkan baru-baru ini.

Rafizi berkata, sebahagian besar daripada RM18.9 juta itu adalah nilai saham syarikat pemula teknologi miliknya, INVOKE Solutions Sdn Bhd (INVOKE).

Menurut Rafizi, beliau tidak perlu menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi kerana memiliki kewangan mencukupi dan sudah bergelar jutawan seawal berusia 30 tahun ketika masih bekerja dengan PETRONAS.

“Pada umur 26 tahun, gaji permulaan saya di PETRONAS adalah RM3,750. Setelah enam bulan, saya disahkan sebagai pengurus dan gaji naik kepada RM11,000 sebulan dan setahun kemudian, saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perancangan Petrokimia pada umur 27 tahun dan gaji RM25,000 sebulan.

“Ketika itu juga, PETRONAS memendekkan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan daripada 60 tahun ke 55 tahun, jadi saya dibayar pampasan RM400,000 pada umur 29 tahun bagi tempoh lima tahun perkhidmatan yang dipendekkan.

“Saya juga berada dalam industri minyak dan gas ketika harga minyak naik mendadak dan bonus tahunan yang besar, yang mana sepanjang tujuh tahun saya di PETRONAS, bonus tahunan purata saya adalah antara 10 hingga 12 bulan setahun.

“Sebab itu saya mempunyai simpanan mencecah RM2 juta menjelang umur 30 tahun dan simpanan ini yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula.

“Sebagai tokoh pembangkang yang lantang, jika ada penipuan atau penyelewengan, sudah tentu sudah lama saya disiasat dan didakwa di mahkamah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), seperti mana Datuk Seri Najib Razak didakwa akibat kesalahan membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempersoal sama ada kekayaan Rafizi yang menghampiri RM18.9 juta, dibina menggunakan dana awam yang dikumpul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ia berikutan ketika menubuhkan INVOKE pada 2016, Rafizi menjalankan kempen mengumpul dana awam menggunakan syarikat itu, bagi kegunaan PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam misi menumbangkan BN dalam PRU14.

Menjelaskan perkara itu, Rafizi mengakui berjaya mengumpul dana awam sekitar RM11 juta antara 2016 hingga 2018, di samping melalui beberapa aktiviti lain seperti penjualan cenderamata dan langganan pengguna.

Bagaimanapun, katanya, semua dana awam berjumlah RM11 juta itu sudah habis digunakan untuk membiayai kempen PRU14 bagi calon PKR, termasuk Mohd Rashid, yang akhirnya menyumbang kepada kemenangannya menawan kerusi Parlimen Batu Pahat ketika itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here