Safee Sali bakal meriahkan Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera esok

0
4
Safee Sali

BERA – Penyerang terbaik Asia Tenggara dan legenda bola sepak tanah air, Safee Sali akan turut turun memeriahkan Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera yang akan berlangsung esok, bertempat di Dewan Konvensyen Bera.

Pemain berusia 38 tahun itu berkata semasa berada di karnival itu, beliau akan menyertai pasukan juara Kejohanan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY Musim Ke-10, Team Haq Esports Club dalam acara Santai eGames di karnival itu.

Safee yang merupakan duta kepada pasukan Team Haq Esports Club sejak Mac tahun lepas berkata, dia sangat teruja dapat menyertai program yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya gembira diberikan peluang untuk turut serta dalam acara bersama kepemimpinan tertinggi negara dan Keluarga Malaysia yang lain di Bera, esok.

“Selain dapat mendekatkan diri dengan peminat-peminat e-sukan, pada masa yang sama kita semua dapat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Kedatangan penyerang KL City FC itu ke Bera juga bagi memberikan sokongan beliau kepada industri e-sukan yang semakin berkembang di Malaysia.
Safee sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk menubuhkan pasukan e-sukan miliknya sendiri jika mempunyai peluang memandangkan indusri sukan itu ketika ini mencetuskan fenomena luar biasa.

Kata Safee, golongan belia khususnya cukup minat dengan permainan video e-sukan dan ia adalah perkembangan positif terutama apabila industri ini menjanjikan pulangan yang lumayan.

Safee, anak kelahiran Kajang, Selangor, dikenali sebagai penyerang terbaik Malaysia semasa generasinya dan pernah juga dibandingkan dengan legenda Allahyarham Mokhtar Dahari.

Raja Bola Malaysia, Datuk Abdul Gahni Minhat juga menganggap Safee penyerang terbaik di Malaysia, di samping bermain secara profesional di luar Malaysia.

Safee turut mencipta rekod sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di dua final Piala AFC.
Safee juga menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama yang bermain di dalam Liga Super Indonesia dengan Pelita Raya Jaya.

Selain Safee dan Team Haq, penyanyi rock terkenal tanahair Datuk Amy Search dan bintang muda Anna Jobling pula bakal menggegarkan Konsert Anak Muda Gegor Bera yang akan berlangsung di Dataran Kerayong, Bera, pada 8.30 malam.

Turut berkongsi pentas ialah beberapa penyanyi terkenal tanah air dan artis seperti Hael Husaini, Nizam Laksamana, Fazli Zainal, Santesh, dan Lock Up.

Karnival yang bakal dirasmikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri itu diadakan bagi mencungkil bakat golongan belia dalam e-sukan, yang kini telah muncul sebagai kerjaya sukan di peringkat antarabangsa.

Menerusi acara Santai eGames anjuran Miat Quadra Esport Club, sebanyak 190 peserta daripada 38 pasukan akan berentap, termasuk melibatkan anak-anak muda seluruh Bera dan kawasan sekitarnya.

Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Pembangunan Manusia Berhad (HRDCorp) itu, antara lain turut melibatkan tawaran 2,000 kerja menerusi acara JaminKerja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here